Ringkasan Artikel
Kaedah pengkomposan Bokashi berpotensi menjadi penyelesaian praktikal bagi membantu Malaysia mengurangkan lambakan sisa makanan apabila ia mudah diamalkan, tidak memerlukan ruang yang besar serta sesuai dilaksanakan di rumah, komuniti, sekolah dan institusi.

Oleh: Noor Eszereen Juferi
Kaedah pengkomposan Bokashi berpotensi menjadi penyelesaian praktikal bagi membantu Malaysia mengurangkan lambakan sisa makanan apabila ia mudah diamalkan, tidak memerlukan ruang yang besar serta sesuai dilaksanakan di rumah, komuniti, sekolah dan institusi.
Pensyarah Kanan, Jabatan Sains dan Teknologi Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FHAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Ts. Dr. Muhammad Heikal Ismail berkata, pendekatan itu mampu mengubah sisa makanan yang lazimnya berakhir di tapak pelupusan kepada sumber nutrien untuk tanaman melalui proses penapaian yang ringkas.
Beliau berkata, pengalaman menjalankan pelbagai projek pengkomposan bersama komuniti menunjukkan Bokashi lebih mudah diterima berbanding kaedah lain kerana tidak memerlukan kawasan yang luas atau pengurusan yang rumit.
“Kami pernah memperkenalkan beberapa kaedah seperti penggunaan larva Black Soldier Fly (BSF) dan vermikompos menggunakan cacing. Namun Bokashi didapati paling praktikal kerana prosesnya lebih cepat, mudah dan boleh diamalkan secara konsisten oleh masyarakat,” katanya.
Menurut beliau, kaedah yang berasal dari Jepun itu menggunakan dedak Bokashi, dedak padi serta mikroorganisma berkesan (Effective Microorganisms, EM) atau biochar untuk menapai sisa makanan di dalam bekas kedap udara selama dua hingga tiga minggu sebelum ditanam di dalam tanah sebagai baja organik.
“Hampir semua jenis sisa makanan boleh diproses menggunakan kaedah tersebut, termasuk sisa dapur, buah-buahan, sayur-sayuran serta sisa ayam dan ikan yang dikisar terlebih dahulu bagi mempercepatkan proses penapaian,” katanya.
Selain itu, kandungan nitrogen (N), fosforus (P) dan kalium (K) dalam hasil kompos perlu dinilai sebelum digunakan bagi memastikan keseimbangan nutrien yang sesuai untuk pertumbuhan tanaman.
Ts. Dr. Muhammad Heikal berkata, walaupun Bokashi telah menjadi sebahagian daripada budaya pengurusan sisa makanan di Jepun, pelaksanaannya di Malaysia masih tertumpu kepada projek komuniti dan belum diperluaskan secara sistematik.
“Saya melihat setiap institusi, sekolah, universiti atau syarikat boleh mempunyai pusat pengurusan sisa makanan sendiri. Jika dilaksanakan secara meluas, pendekatan ini bukan sahaja dapat mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, malah menyokong agenda kelestarian negara serta menggalakkan ekonomi kitaran,” katanya.
Beliau berkata, minat masyarakat terhadap kaedah tersebut juga semakin meningkat apabila lebih ramai penduduk antaranya komuniti di Seri Serdang hadir pada UPM–Taman Seri Serdang Food Waste Valorisation Living Lab & SULAM Programme 2026 baru-baru ini bagi mempelajari sendiri teknik penyediaan Bokashi.
“Apabila masyarakat melihat prosesnya mudah, tidak berbau dan tidak memerlukan peralatan yang rumit, mereka lebih yakin untuk menjadikannya amalan harian. Perubahan kecil di rumah sebenarnya mampu memberi kesan besar kepada pengurangan sisa makanan negara,” katanya.
Tarikh Input: 29/06/2026 | Kemaskini: 13/07/2026 | hairul_nizam

43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA