UPM IPT Pertama Dunia Indeks Buku Ilmiah Bahasa Melayu Dalam Scopus | Universiti Putra Malaysia
» NEWS » UPM IPT pertama dunia indeks buku ilmiah Bahasa Melayu dalam Scopus

UPM IPT pertama dunia indeks buku ilmiah Bahasa Melayu dalam Scopus

 

Oleh: Noor Eszereen Juferi

 

SERDANG, 29 Julai – Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta sejarah apabila menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) pertama di dunia yang berjaya mengindeks koleksi buku ilmiah dan karya penulisan Bahasa Melayu dalam pangkalan data Scopus,  mengangkat martabat bahasa kebangsaan ke peringkat antarabangsa.

 

Pencapaian itu turut melayakkan UPM menerima pengiktirafan daripada ASEAN Records dan Asia Records menerusi rekod “First and Largest University Press Collection of Scopus-Indexed Scholarly Books in English and Malay.”

 

Sehingga 21 Julai 2026, koleksi Penerbit UPM merangkumi 271 judul buku ilmiah yang telah diindeks Scopus, terdiri daripada 192 judul dalam bahasa Inggeris, 73 judul dalam Bahasa Melayu dan enam judul dwibahasa. Selain itu, 20 lagi judul telah diluluskan sebagai In Scope dan sedang menunggu proses pengindeksan.

 

Pengarah Penerbit UPM, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan, berkata pengiktirafan tersebut bukan sahaja membuktikan kecemerlangan UPM dalam penerbitan akademik, malah menjadi detik penting kepada pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang diiktiraf di peringkat global.

 

“Pengiktirafan ini melonjakkan nama Penerbit UPM di persada antarabangsa. Lebih membanggakan UPM menjadi penerbit universiti pertama di dunia yang berjaya mengindeks buku ilmiah Bahasa Melayu dalam pangkalan data Scopus,” katanya.

 

Beliau berkata kejayaan itu merupakan hasil komitmen berterusan UPM dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tanpa mengetepikan keperluan memenuhi standard penerbitan akademik antarabangsa.

 

“Selepas ini ahli akademik daripada universiti awam dan swasta yang ingin menerbitkan buku ilmiah Bahasa Melayu yang diindeks Scopus boleh menjadikan Penerbit UPM sebagai rakan strategik dalam usaha memperluaskan impak penyelidikan mereka,” katanya.

 

Kejayaan ini membuka lebih banyak peluang kepada ahli akademik dan penyelidik untuk menerbitkan karya ilmiah Bahasa Melayu yang mendapat pengiktirafan antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan Bahasa Melayu dalam ekosistem penerbitan ilmiah global.

 

Pencapaian bersejarah ini juga sejajar dengan aspirasi Pelan Strategik UPM 2021–2025 yang diteruskan melalui agenda transformasi universiti untuk memperkukuh kecemerlangan penyelidikan, penerbitan berimpak tinggi serta meningkatkan keterlihatan dan reputasi UPM di peringkat antarabangsa.

Date of Input: 29/07/2026 | Updated: 29/07/2026 | eszereen

MEDIA SHARING

Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 1000
---
X, (09:20:14pm-09:25:14pm, 29 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]